Utamakan kedaulatan negeri sebelum bangunkan bandar sempadan - Utusan Malaysia

Utamakan kedaulatan negeri sebelum bangunkan bandar sempadan

SAARANI Mohamad (kanan) semasa Sidang DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak tergesa-gesa dalam membangunkan bandar sempadan di Pengkalan Hulu, susulan pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun memahami permintaan supaya pembangunan semula bandar sempadan dan pelabuhan darat di Pengkalan Hulu itu dipercepatkan bagi manfaat penduduk setempat.

“Kerajaan negeri perlu memastikan isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum merancang pembangunan ekonomi dan komersial di kawasan sekitar kompleks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamad Amin Roslan (Pas-Pengkalan Hulu) mengenai komitmen bagi mempercepatkan pembangunan bandar sempadan di negeri Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Kompleks ICQS Bukit Berapit yang baharu telah diumumkan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2025 dan dijangka akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Saarani pada masa sama menyatakan kerajaan negeri sedia untuk memudah cara urusan berkaitan tanah yang akan dimohon oleh Kementerian Dalam Negeri bagi pembangunan kompleks tersebut.

Katanya kerajaan negeri akan menyokong dan meneruskan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menggalakkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di kawasan Pengkalan Hulu.

Antara usaha tersebut jelas beliau ialah projek pembangunan sempadan trail pelancongan yang terdiri daripada tiga komponen iaitu menaik taraf Tasik Takong, Kroh Hotspring dan Bukit Berapit.

Kata beliau, kerja-kerja menaiktaraf itu akan bermula pada suku pertama 2025 dan dijangka berakhir pada suku ketiga 2026.

“Kerajaan negeri menjangkakan kerja-kerja naiktaraf ini akan menyokong sektor pelancongan di Pengkalan Hulu dan menggalakkan kemasukkan pelancong-pelancong dari Thailand. Ianya akan membuka peluang kepada warga tempatan untuk menjana pendapatan melalui perniagaan di kawasan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN