SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) dilantik sebagai perunding bagi membangunkan panduan kursus haji dan umrah mesra orang kurang upaya (OKU) oleh Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH).
Pembangunan projek berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman dan penguasaan komuniti OKU khususnya OKU penglihatan terhadap praktikal ibadah haji dan umrah.
Projek itu juga merupakan projek pertama yang melibatkan kepakaran universiti awam bersama-sama pihak TH untuk menyantuni komuniti OKU penglihatan.
Pengarah Ummi, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus berkata, inisiatif ini merupakan usaha murni yang menyokong agenda inklusif di peringkat antarabangsa melalui pendekatan ‘No One Left Behind’.
Beliau berkata, skop projek berkenaan meliputi proses mengenal pasti, membangunkan dan menghasilkan buku panduan ibadah haji dan umrah bagi komuniti OKU penglihatan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu USIM dan TH.
Katanya lagi, proses transkripsi panduan telah selesai dijalankan dan draf akhir panduan tersebut telah diserahkan kepada pihak TH bagi tujuan semakan.
“Cadangan untuk membangunkan panduan kepada OKU penglihatan ini telah bermula pada tahun 2024 melalui beberapa siri perbincangan dengan pihak TH dan siri bengkel berkaitan penyediaan panduan haji dan umrah mesra OKU penglihatan.
“Projek ini juga menyokong Pelan Tindakan Agensi Agama bagi OKU muslim 2024-2028 ke arah usaha pengupayaan masyarakat cakna OKU dan pemerkasaan komuniti OKU, “katanya
Sementara itu, Ketua Bahagian Bimbingan Haji TH, Shahrin Awaludin berkata, TH berusaha memberikan komitmen tinggi dalam memastikan jemaah haji dalam kalangan OKU turut diberi perhatian, kefahaman, dan kemudahan sewajarnya untuk menyempurnakan ibadah mereka.
“Usaha penambahbaikan daripada segala sudut perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan diteruskan lagi bukan sahaja kepada komuniti OKU penglihatan tetapi melibatkan semua kategori OKU.
“Penghasilan projek ini menjadi platform utama kepada komuniti istimewa dalam merealisasikan impian untuk menjadi tetamu Allah SWT,”katanya. – UTUSAN