PETALING JAYA: Usaha berterusan perlu dilakukan bagi memperkukuh struktur perkhidmatan awam agar ia kekal mampan, responsif dan sejajar dengan keperluan semasa negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibangkitkan beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) Bilangan 1 Tahun 2025, pagi tadi.
“Susulan kejayaan pelaksanaan SSPA Fasa 1 dan melalui proses libat urus yang berterusan, pelbagai cadangan inisiatif dasar baharu perkhidmatan awam telah dibincangkan, termasuk mengenai mobiliti dan portabiliti penjawat awam, demi memastikan mereka lebih berdaya saing di masa hadapan.
“Saya percaya pembaharuan ini perlu dilaksanakan dengan teliti dan inklusif, dengan mengutamakan kepentingan rakyat, kebajikan penjawat awam serta kemampuan fiskal negara,” katanya menerusi catatan dalam Facebook, hari ini.
SSPA menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2024 mengutamakan prestasi perkhidmatan awam dan mendahulukan kebajikan penjawat awam.
Ia dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi, selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan.-UTUSAN










