PETALING JAYA: Kadar caj penyelenggaran di kawasan perumahan bertingkat dijangka naik apabila Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dilaksanakan kelak.
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, kenaikan itu perlu bagi menampung kos pemuliharaan dan penyelenggaraan bangunan yang telah berusia serta usang.
Katanya, kerajaan perlu meneliti mekanisme terbaik agar kadar caj penyelenggaran tidak membebankan penduduk terutama bagi mereka yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR).
“Apabila ada sesuatu dilaksanakan (pembangunan semula) untuk meningkatkan taraf hidup, pastinya bangunan itu akan menjadi lebih baik dan cantik.
“Kemudian sudah pasti ada berlakunya kenaikan pada yuran penyelenggaraan yang akan dikenakan kepada penduduk nanti. Sebab itu kita perlu teliti balik mekanisme bagaimana untuk tidak membebankan penduduk,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
URA merupakan cadangan undang-undang yang akan membolehkan pembangunan semula tanah tanpa persetujuan semua pemilik .
Undang-undang itu mencetuskan polemik apabila terdapat dakwaan kononnya ia bagi membolehkan kerajaan dan pemaju mengambil tanah serta rumah rakyat walaupun pemilik asal tidak bersetuju sepenuhnya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan berkenaan dan memberi jaminan tidak wujud sebarang usaha untuk mengusir sesiapa sahaja terutama orang Melayu dari ibu negara.
Dalam pada itu, Ahmad Phesal berkata, kajian mendalam berkenaan caj penyelenggaran turut dilaksanakan sewaktu pembangunan Kampung Kerinchi.
“Inilah antara perkara yang diberi fokus sewaktu pembangunan di sana. Kita perlu kaji berapa bayaran yuran penyelenggaraan setiap bulan penduduk di kawasan berkenaan,” jelasnya.-UTUSAN









