Unjuran KDNK 3.9 peratus: Tumpu bina daya tahan berbanding

Unjuran KDNK 3.9 peratus: Tumpu bina daya tahan berbanding angka pertumbuhan

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menekankan supaya tidak terlalu menumpukan kepada angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya memberi keutamaan kepada membina daya tahan negara bagi mendepani cabaran global.

Amir Hamzah berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memastikan negara mempunyai mekanisme dan dasar yang tepat agar terus berkembang, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

Katanya, walaupun terdapat halangan tertentu, selain badan multilateral menyemak semula sasaran pertumbuhan Malaysia yang mencerminkan pertumbuhan global dan penurunan jumlah perdagangan, beliau yakin negara akan terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2025.

“Perkara yang baik ialah ia (unjuran yang disemak semula) masih mencatatkan pertumbuhan,” katanya pada Forum Kepimpinan ASEAN oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) yang diadakan di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun ini sebanyak 3.9 peratus.

Awal minggu ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menetapkan unjuran pertumbuhan negara pada 4.1 peratus, menurun daripada 4.7 peratus sebelum ini.

Unjuran itu lebih rendah daripada sasaran kerajaan sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

Tambah Amir Hamzah, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan dengan disokong oleh permintaan domestik yang stabil, kepelbagaian ekonomi serta pelaburan yang mampan.

Katanya, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada tahun sebelumnya.

“Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk mendepani ketidaktentuan global,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah turut berkongsi fokus Kerajaan Madani dalam merangka semula hala tuju ekonomi negara.

Katanya, antara cabaran utama untuk mencapai visi tersebut terletak pada perangkaan semula asas ekonomi negara, selaras dengan teras utama dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani.

“(Antara lain) kami berusaha untuk memacu ekonomi daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi di peringkat global dan untuk itu, kami perlu berusaha keras dan keluar daripada perangkap berpendapatan sederhana.

“Rangka kerja itu dilancarkan pada 2023, memberi tumpuan kepada merangka semula ekonomi dengan tadbir urus yang baik dan pada masa sama membina perlindungan sosial yang lebih baik serta meningkatkan gaji kehidupan wajar di negara ini.

“Ini penting kerana masyarakat yang stabil menawarkan persekitaran yang lebih kondusif untuk kemajuan negara. Pada masa yang sama, kami mahu mengukuhkan semula jaringan sosial kami dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam negara,” katanya.

Ujarnya, aspek penting yang perlu difokuskan adalah menarik pelaburan yang tepat, khususnya berasaskan kemahiran dan pelaburan sektor keutamaan baharu.

“Sehubungan itu, ia bukanlah satu kejutan apabila Malaysia berkembang menjadi antara pusat data yang lebih baik di Asia dan ia juga tidak mengejutkan apabila kecerdasan buatan (AI) juga telah diambil kira (daripada segi) aspek yang boleh kami lakukan dan tawarkan di Malaysia,” katanya.

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam sejarah dengan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, meningkat 14.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya