KUALA TERENGGANU: Tujuh warganegara Indonesia diperintahkan dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mencuri kabel elektronik dan bateri solar di sebuah pelantar minyak di perairan Kuala Terengganu, Februari lalu.
Tertuduh yang berusia antara 25 tahun hingga 45 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihan Mohd. Ishak.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara bermula tarikh tangkapan pada 20 Februari lalu. Berdasarkan kepada pertuduhan, tujuh lelaki itu ditahan di atas sebuah pelantar minyak di kedudukan 76.9 batu nautika dari Kuala Terengganu pada pukul 12 tengah hari, 20 Februari lalu.
Mereka didapati mencuri dua set kabel dan empat unit bateri anggaran kerugian RM10,000 milik sebuah syarikat minyak tempatan. Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Akta Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.
Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Maritim Terengganu, Nik Mohd. Izwan Farid Md. Daud dan tujuh warga Indonesia itu pula tidak diwakili peguam.
Akhbar sebelum melaporkan melaporkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan tujuh lelaki warga Indonesia, didakwa menceroboh dan mencuri di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu untuk mencuri.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid dilapor berkata, mereka ditahan ketika bersembunyi di ruang ventilasi pelantar berkenaan. – UTUSAN