Tubuh jawatankuasa pantau pelaksanaan 31 MoU Malaysia-China - Utusan Malaysia

Tubuh jawatankuasa pantau pelaksanaan 31 MoU Malaysia-China

MOHAMAD Hasan dalam sidang akhbar semasa kempen PRK Ayer Kuning bersama calon BN, Mohamad Yusri Bakir di Tapah. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Satu Jawatankuasa Majlis Perundingan akan ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan 31 memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dan China baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut penting bagi memantau perkembangan dan prestasi MoU yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik antara dua negara itu.

Katanya, melalui jawatankuasa berkenaan, Kementerian Luar bagi kedua-dua negara akan bertindak sebagai penyelaras.

“Apabila banyak kementerian yang terlibat, kita mesti ada satu penyelaras. Jadi, saya dan rakan sejawat dari China akan melihat perkara ini.

“Banyak dokumen yang kita tandatangani tapi bagaimana pelaksanaannya, apa tindakan susulan dan dasar yang diguna pakai. Kita tidak mahu selesai tandatangan dokumen, selepas itu tiada apa-apa (tindakan lanjut),” katanya di sini hari ini.

Kelmarin, Malaysia dan China memeterai 31 MoU merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik yang memanfaatkan kepentingan kedua-dua negara.

Kerjasama sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping Xi ke Malaysia itu termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan.

Menurut beliau, menerusi jawatankuasa itu, setiap kementerian terlibat perlu menghantar laporan suku tahunan kepada Kementerian Luar sebelum ia dibentangkan ke Kabinet.

“Saya telah beritahu kementerian-kementerian dan Kabinet bahawa Kementerian Luar akan mengurus perkara ini dengan bertindak sebagai koordinator.

“Rundingan juga akan diadakan bersama rakan sejawat saya dari China pada mesyuarat pertama nanti.

“Ini yang akan kita lakukan supaya kerja bersistematik ini dapat diurus dengan baik dan hasilnya nanti dapat disegerakan untuk diterjemahkan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN