SEREMBAN: Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian tetak menggunakan parang di sebuah pusat beli-belah di sini berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, tiga suspek berusia 35 hingga 47 tahun itu ditahan pada pukul 5 petang semalam di Port Dickson dan senjata parang yang digunakan telah dirampas.
“Semakan rekod jenayah mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah merangkumi pelbagai kesalahan termasuk jenayah kekerasan.
“Suspek kini ditahan reman selama tiga hari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Jelas beliau, kes diklasifikasikan semula kepada Seksyen 326 daripada Seksyen 324 Kanun Keseksaan selepas tahap kecederaan mangsa dikenalpasti sebagai parah berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki parah selepas diserang beberapa lelaki dipercayai ada kaitan dengan gangsterisme dan dendam.
Mangsa berusia 40 tahun telah dilibas berulang kali dengan parang oleh seorang daripada suspek menggunakan parang di sebuah pusat beli-belah dan video rakaman dari televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu turut tular di media sosial.-UTUSAN