Tiga hari baik pulih jalan runtuh di Gua Musang

Tiga hari baik pulih jalan runtuh di Gua Musang

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kiri) meninjau keadaan jalan sementara yang runtuh sepanjang 30 meter di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kerja-kerja baik pulih jalan lencongan sementara yang runtuh sepanjang 30 meter di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di sini dijangka mengambil masa tiga hari apabila dilaksanakan kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, setakat ini laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan kerana terdapat pergerakan air bawah tanah akibat pembetung pecah.

“Kerja membaik pulih laluan ini akan segera dilaksanakan. Jika cuaca elok pihak konsesi yang dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil masa tiga hari untuk menyiapkannya.

“Selepas siap, lencongan sementara itu hanya dibuka untuk kegunaan masyarakat setempat untuk menghantar anak ke sekolah dan kes kecemasan sahaja,” katanya selepas meninjau keadaan jalan lencongan yang runtuh itu, semalam.

Mohd. Azmawi Fikri berkata, kenderaan berat seperti lori, treler dan bas perlu melalui jalan yang disarankan sebagai laluan alternatif FT066 iaitu Jalan Sungai Sam-Jeli.

Katanya, kenderaan ringan pula boleh menggunakan laluan Simpang Jerek-Kampung Ingin Maju-Jalan Bertam-Kemubu-Simpang Kemubu-Jelawang.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, jalan lencongan sementara ditutup kepada semua kenderaan ekoran kejadian runtuhan tanah sepanjang 30 meter susulan hujan lebat yang melanda Gua Musang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN