Tiga bersaudara babit sindiket dadah Amerika Latin RM82 juta

Tiga bersaudara babit sindiket dadah Amerika Latin RM82 juta

PELBAGAI jenis dadah yang berjaya dirampas pada sidang akhbar rampasan pelbagai jenis dadah di Bukit Aman di sini hari ini. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dari Amerika Latin membabitkan rampasan dianggarkan RM82.14 juta selepas menahan tiga lelaki warga tempatan baru-baru ini.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di sekitar Kajang dan Cheras, Selangor pada 24 dan 25 April lalu hasil maklumat dan risikan.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, Kajang, sebelum dua lagi premis diserbu di Cheras Perdana dan sebuah kondominium di Cheras.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan pada 24 April lalu pukul 4.30 petang di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu, Kajang.

“Dalam serbuan tersebut, JSJN Bukit Aman telah berjaya menangkap tiga lelaki berusia antara 27 sehingga 39 tahun yang sedang menjalankan kerja pembungkusan dadah di dalam rumah tersebut. 

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah kita (polis) telah menemukan 830 bungkusan syabu selain 56 guni plastik berisi dadah sama dan pelbagai peralatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua pula dilakukan pada 25 April lalu pada pukul 1.15 pagi di sebuah apartment di Cheras Perdana.

Manakala, serbuan ketiga dilakukan pada hari sama pada pukul 1.50 pagi di sebuah kondominium di Cheras.

“Di kedua lokasi ini, kita berjaya menemukan 98 bungkusan ketamin selain plastik lutsinar berisi syabu dan 81 bungkusan ketulan ekstasi.

“Jumlah keseluruhan anggaran berat dadah yang dirampas adalah sebanyak 1,986 kilogram (kg) syabu diikuti ketamin (97 kg) dan ketulan ekstasi (82 kg) dengan nilai dianggarkan RM82.14 juta,” jelasnya.

Beliau menambah, ketiga-tiga suspek ditahan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan selain disyaki menjadi perancang utama kepada sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi dan transit utama.

“Mereka yang ditahan berperanan sebagai koordinator, penyelaras dan pembungkus utama.

“Modus operandi digunakan mereka adalah dengan menyimpan kesemua dadah yang diseludup di tiga unit kondominium bagi pembungkusan semula dadah yang dibawa masuk,” jelasnya.

Kata beliau, semua premis kediaman itu telah disewa sejak tahun lalu dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM2,000 sehingga RM2,600.

Kata Mat Zani, dadah yang diseludup dari Amerika Latin itu dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang ke negara ini menggunakan kontena dengan menggunakan kaedah penyamaran .

Beliau berkata, dadah berkenaan akan diisytiharkan sebagai sebagai serpihan plastik atau plastic flakes bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dadah itu kemudian dibungkus semula untuk dihantar ke Korea Selatan dan Jepun, di mana satu kilogram syabu boleh mencecah harga lebih RM400,000,” ujarnya.

Beliau menambah, hasil semakan seorang daripada tiga suspek  didapati positif dadah methampetamine manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing berkaitan jenayah dan dadah.

“Mereka kini direman hingga 1 Mei dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

“JSJN turut menyita empat kenderaan dua jenis Toyota Vios dan sebuah Toyota Altis serta Proton Saga dengan anggaran nilai keseluruhan RM95,000.

“Jika  digabungkan nilai sitaan dan rampasan dadah, jumlah keseluruhan mencecah RM 82.2 juta,”katanya.

Kata beliau, JSJN kini bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan luar termasuk Drug Enforcement Administration (DEA) dari Amerika Syarikat bagi membongkar rangkaian sindiket ini di peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya