Tidak berkompromi tanah diceroboh 

Tidak berkompromi tanah diceroboh 

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah) merasmikan program Moh Karnival Makmur Bentong @ Pelangai di Dataran Felda Chemomoi, Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Tohmahan mengatakan Kerajaan Negeri Pahang tidak mengambil tindakan terhadap kes pencerobohan tanah di negeri ini adalah tidak berasas kerana rekod membuktikan penguatkuasaan diambil terhadap aktiviti haram berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak 3,366 hektar tanah kerajaan yang diceroboh  telah diambil semula sejak 2019.

Katanya, kerajaan negeri komited dalam usaha membanteras sebarang aktiviti pencerobohan tanah di negeri ini.

“Kalau ada tohmahan, ada cerita yang mengatakan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan, tuan dan puan boleh tengok rekod. Sejak 2019, Kerajaan Negeri Pahang telah menguatkuasakan ke atas siapa juga yang membuat aktiviti-aktiviti haram ini.

“Sehingga kini, sebanyak 3,366 hektar tanah haram diambil semula oleh kerajaan negeri,” katanya ketika merasmikan program Moh Karnival Makmur Bentong @ Pelangai di Dataran Felda Chemomoi, di sini semalam.

Menurut Wan Rosdy, sejak 2023, kerajaan negeri tidak lagi menggunakan pendekatan kompaun sebaliknya memilih tindakan undang-undang yang lebih berat untuk memberi kesedaran kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalau dulu hanya dikenakan kompaun RM20,000 hingga RM30,000, kini kita bawa ke mahkamah. Dua minggu lalu, dua individu didenda RM100,000 setiap seorang kerana menceroboh tanah secara haram,” katanya.

Beliau turut berkongsi satu kes terbaharu yang dikesan pada tahun lalu, melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar (404.6 hektar) di Hutan Simpan Sungai Perdak di sini, yang diceroboh untuk penanaman pokok durian secara haram.

“Ketika membuat tinjauan udara menggunakan helikopter, saya terlihat daun hutan yang berbeza dari biasa. Apabila helikopter direndahkan, saya dapati ia adalah pokok durian yang ditanam secara haram di tengah-tengah hutan simpan.

“Saya terus arahkan tindakan segera diambil oleh Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Daerah serta Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) untuk kembalikan tanah itu kepada kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN