KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan wujud sebarang usaha untuk mengusir orang Melayu daripada ibu negara seperti sentimen yang dimainkan pihak tertentu.
Sebaliknya kerajaan hanya berusaha untuk membantu dan memperbaiki kehidupan orang Melayu dengan memberikan keselesaan daripada segi tempat tinggal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan bangga dengan Kuala Lumpur sekiranya hanya dipenuhi dengan gedung-gedung besar.
Sebaliknya, kata Anwar, beliau akan berbangga sekiranya majoriti rakyat di ibu negara memperoleh kediaman yang selesa dan mendapat peluang untuk makan dengan kadar harga lebih murah.
“Ini baru memaknai Madani, saya tidak mahu Madani itu (hanya) menjadi slogan lunak tetapi tidak (meninggalkan) bekas. Jadi jika tanya saya tentang nilai prestasi bandaraya Kuala Lumpur, saya lihat ini dahulu, apakah faedah langsung kepada rakyat.
“Maka sebab itu KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) mengusulkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) (hingga) menimbulkan kontroversi yang saya kurang mengerti, mengapa harus dibantah?
“Orang yang biasa di Kuala Lumpur, bukan sahaja di hotel-hotel bintang lima dan tujuh tetapi dengan kawasan perumahan rakyat akan tahu bahawa sebahagian besar rakyat kita duduk dalam rumah yang sangat rosak, sederhana dan ada di flat yang sudah berusia 50 tahun,” katanya dalam Majlis Peluncuran Kreatif Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, di sini.
Anwar membidas dakwaan musuh politiknya yang mengatakan kerajaan cuba untuk mengusir orang Melayu daripada ibu negara.
“Ia dijadikan bahan politik, caci-mencaci, (dakwa ia) merampas tanah (orang) Melayu (dan ia merupakan) agenda Cina. Saya tidak mengerti politik seperti ini, kerana status tanah tidak berubah.
“Apakah itu Tanah Rizab Melayu? Kekal, apakah tanah itu MAS (Penempatan Pertanian Melayu)? (juga) kekal tetapi kalaulah flat seperti flat Seri Perlis yang pada saya paling ‘melemaskan’ dan saya tidak bangga sebagai Perdana Menteri sekiranya tidak dapat melakukan apa-apa untuk bangunkan semula flat tersebut.
“Ia dibangunkan pada 1961, ya ada baiknya (kerana) pada keadaan tersebut, itulah upaya negara ketika itu. Kemudian, sekarang, 2025 (masih) satu bilik dan satu tandas. Anak enam dan kadang lebih, hidup dalam keadaan sesak (serta) tiada kemudahan-kemudahan asas dibawah.
“Sebab itu kita kena pinda untuk menjamin mereka mendapat rumah baru di tempat yang sama atau lebih kurang kawasan sekitar dengan minima tiga bilik dan dua tandas,” katanya.
Sementara itu, beliau turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah sementara yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan selesa.
“Sebaik sahaja kita luluskan, kita harus ambil tindakan yang segera. Melewatkan pelaksanaan (selama) tiga bulan bermakna keluarga itu akan sengsara tiga bulan. Bayangkan kalau kita di situ dan rumah tidak siap.
“Kalau ada pegawai-pegawai yang terlibat (dalam proses penangguhan), saya nak hantar pegawai itu hidup di rumah sementara itu, baru dia tahu bagaimana sengsara dan seksanya oranng yang terpaksa menunggu,” tegasnya. – UTUSAN