‘Tiada manfaat untuk sorok fakta’ - Hussein

‘Tiada manfaat untuk sorok fakta’ – Hussein

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Polis menegaskan tiada sebarang kematian direkodkan dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights, sekali gus menolak dakwaan liar yang tular di media sosial kononnya wujud usaha menyembunyikan fakta kejadian tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya bersama agensi-agensi teknikal yang terlibat sentiasa bersikap telus dan terbuka dalam memaklumkan perkembangan siasatan kepada orang ramai.

“Pihak polis tidak pernah dan tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berkaitan insiden ini.

“Tuduhan seperti ‘polis menyorok kematian’ adalah tidak berasas, melampau dan boleh menimbulkan ketakutan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan melibatkan pelbagai aspek termasuk faktor mekanikal, alam sekitar, operasi dan keselamatan.

Antara agensi yang terlibat dalam siasatan ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Petronas.

“Saya tegaskan sekali lagi, tiada laporan polis dibuat berhubung dakwaan kononnya berlaku kematian akibat insiden letupan ini. Jika benar ada, tampil dan buat laporan secara rasmi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi liar yang boleh menjejaskan siasatan serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Katanya, pihak berkuasa negeri termasuk beliau serta Menteri Besar Selangor sentiasa menyalurkan maklumat kepada media dan rakyat secara konsisten.

“Tiada sebab untuk menyorok apa-apa fakta. Datuk Bandar juga turun ke lapangan menjawab soalan penduduk,” ujarnya.

Terdahulu, pelbagai dakwaan tidak berasas tersebar di media sosial termasuk kononnya wujud kematian dalam tragedi berkenaan yang didakwa cuba disembunyikan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN