KUALA LUMPUR: Ketua polis balai yang dikesan positif dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Pandan Perdana, Ampang Jaya, Jumaat lalu bakal berdepan tindakan tatatertib oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pegawai berkenaan yang bertugas di salah sebuah balai polis bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur turut menerima arahan pertukaran serta-merta ke IPK Pulau Pinang.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku jenayah melibatkan pegawai dan anggota pasukan tanpa mengira pangkat.
“Daripada 17 individu yang ditahan dalam serbuan itu, salah seorang daripadanya adalah pegawai polis terbabit yang didapati positif dadah.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, tindakan tegas akan diambil. Kes itu melibatkan jenayah kerana positif dadah, jadi tindakan tatatertib pasti menyusul.
“Arahan pertukaran juga telah dikeluarkan pada hari sama pegawai itu ditahan, cuma dikeluarkan sedikit lewat. Beliau ditukarkan ke IPK Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan dari semua sudut termasuk melibatkan tatacara kehadiran anggota polis di pusat hiburan.
Jelasnya, anggota polis tidak dibenarkan berada di premis hiburan kecuali atas urusan kerja dengan kebenaran ketua jabatan.
“Berada di pusat hiburan tidak dibenarkan kecuali atas urusan tugas dan perlu ada kebenaran khusus daripada ketua masing-masing,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang ketua balai polis berusia 43 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ketika berhibur di pusat hiburan berkenaan.
Ujian air kencing terhadap suspek mengesahkan kehadiran empat jenis bahan terlarang dalam tubuhnya dan dia dipercayai mengambil jus disyaki mengandungi dadah ketika berada di premis tersebut. – UTUSAN