TAPAH: Tiada keperluan calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning untuk mengisytiharkan harta seperti yang dilakukan oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kebiasaannya, seseorang itu mengisytiharkan harta apabila memegang jawatan kerajaan.
“Isytihar harta untuk menunjukkan bahawa apabila seseorang itu memegang jawatan kerajaan supaya tidak menyalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
“Tetapi apabila calon kita menang, jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dia isytihar harta semasa itu dan mungkin menjelang pilihan raya akan datang (sekiranya terpilih semula) boleh isytihar sekali lagi,” katanya pada Sidang Media Harian PN sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Semalam, calon PSM, Bawani KS mengisytiharkan harta sempena PRK Ayer Kuning.
Bawani yang juga Pengerusi PSM Perak berkata, setakat 15 April, jumlah aset bersih dianggarkan sebanyak RM21,248 yang dipecahkan kepada tiga kategori iaitu harta, pendapatan dan perbelanjaan serta hutang.
Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr. Mohamad Yusri Bakir menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN) Abd.Muhaimin Malek dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada esok dan hari pengundian pada 26 April depan yang melibatkan 31,897 pemilih. – UTUSAN