MADINAH: Tabung Haji (TH) bersedia menerima kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba melalui penerbangan KT01 di sini pada 29 April ini.
Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi TH Madinah, Affandi Abdullah berkata, barisan para petugas haji TH telah bersiap sedia untuk menyambut dhuyufurrahman kumpulan pertama dari Kuala Lumpur yang dijangka tiba kira-kira pukul 7.50 pagi waktu tempatan.
“Dari segi persiapan, Alhamdulillah juga walaupun di saat akhir menerima petugas dari tanah air dua hari lalu walaupun macam-macam rintangan yang kita hadapi.
“Bagi sektor Madinah ini jumlah petugas kira-kira 70 orang dan kita masih menunggu kedatangan petugas kesihatan. Kesemua jemaah haji ini akan kita tempatkan di tiga buah hotel iaitu Anwar al Madinah Movenpick, Saja al Madinah dan Emaar Royal, di sini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Katanya, 284 jemaah KT01 akan disambut secara meriah dan besar-besaran seperti sebelum ini oleh pihak pengurusan hotel di Hotel Emaar Royal.
Jelas beliau, jemaah-jemaah ini dijangka berada selama enam hari lima malam di Madinah dan sepanjang berada di sana, mereka akan dibawa untuk program ziarah dalam dan luar.
“Selain program yang diatur tersebut selama lima hari mereka di sini, para jemaah juga akan diberi kelas atau pun ulangkaji sebelum mereka akan bergerak ke Mekah pada hari ketujuh,” ujarnya.
Dalam pada itu, Affandi berkata, semua jemaah Malaysia diminta untuk menjaga kesihatan masing-masing selain mengikuti peraturan musim haji tahun ini yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.
Beliau berkata, melihat kepada keadaan cuaca panas pada musim haji tahun ini para jemaah diminta untuk menjaga kesihatan masing-masing ketika di Tanah Suci.
“Cuaca di sini panas dan kering jadi jagalah kesihatan, minum air secukupnya ketika berada di sini. Cuaca dijangka akan lebih panas sepanjang musim haji kali ini sehingga boleh mencecah 50 darjah Celsius.
“Mudah-mudahan para jemaah haji telah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menunaikan ibadah pada tahun ini. Insya-Allah petugas haji Malaysia di Tanah Suci juga telah bersiap sedia menyantuni dhuyufurrahman,” katanya
Selain itu, ujarnya, bagi memastikan keselesaan serta memudahkan jemaah haji berhubung di Tanah Suci, TH juga menyediakan kad prabayar mudah alih STC.
“Para jemaah mungkin perlu berbelanja sedikit namun sedikit sebanyak ia dapat membantu perhubungan komunikasi para jemaah. Kad prabayar ini adalah apa yang kita sediakan untuk petugas, juga kita akan sediakan kepada jemaah,” tambahnya.-UTUSAN











