JASIN: “Saya terdengar bunyi letupan seperti mercun tetapi tidak tahu dari mana, tiba-tiba api sudah marak dari bawah kereta”.
Menceritakan detik cemas itu, pesara guru, Rahman Mamat, 85, berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Isyak di rumahnya di Kampung Simpang Kerayong di sini kira-kira pukul 8.30 malam, Ahad lalu.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar jeritan cucunya yang berusia lapan tahun memaklumkan melihat percikan api di bawah kereta.
“Saya segera keluar untuk meninjau keadaan dan mendapati situasi semakin tidak terkawal kerana api marak dengan pantas. Saya jerit panggil isteri dan anak agar segera keluar dari rumah.
“Saya cuba memadam sendiri kebakaran tetapi gagal kerana api telah merebak ke kawasan garaj dan stor. Sebuah kereta dan dua buah motosikal musnah manakala ruang kediaman utama mengalami kerosakan dan kerugian dianggarkan melebihi RM50,000,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Rahman mendakwa terdengar bunyi letupan seperti seseorang sedang bermain mercun sebelum kebakaran berlaku.
Bagaimanapun dia enggan menuding jari kepada sesiapa kerana tidak pasti siapa dan punca sebenar kebakaran.
“Memang saya ada dengar bunyi letupan tetapi tidak fikir apa-apa. Biasalah kawasan kampung ramai yang bermain mercun dan bunga api.
“Walaupun sebahagian kawasan rumah saya musnah terbakar tetapi saya tetap bersyukur ahli keluarga yang selamat.
“Saya tidak pasti bagaimana kebakaran itu berlaku dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berwajib untuk menyiasat,” ujarnya. – UTUSAN