PASIR SALAK: Penduduk beberapa kampung di sini mendakwa kerap mengalami gangguan bekalan air disebabkan tekanan air rendah ke kawasan mereka.
Masalah itu melibatkan sekitar kawasan Teluk Memali dan Teluk Sareh dan beberapa kampung lain selain Kampung Batu Hitam, Pulau Tiga dan perumahan awam di pekan Kampung Gajah.
Penduduk mendakwa masalah itu disebabkan pertambahan bilangan penduduk yang semakin ramai selain tangki simpanan air dan saluran paip yang kecil yang disalurkan ke rumah penduduk.
Mereka berkata, semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beberapa kawasan mengalami tekanan air rendah sehingga menjejaskan keperluan harian seperti untuk mandi, memasak dan lain-lain kegunaan.
Penduduk yang terjejas akibat tekanan air rendah, Salleh Shaari, 70, berkata, masalah itu sudah lama dialami penduduk dipercayai berpunca daripada tangki air yang bersaiz kecil, tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah.
Menurutnya, tekanan air rendah yang berlaku seperti pada hari raya mengecewakan penduduk ketika ahli keluarga mereka berada di kampung.
“Kerana tekanan air rendah, ada yang tak mahu tidur di kampung, ada yang terpaksa menyewa homestay di luar kawasan ini hanya untuk memastikan mereka tidak berdepan gangguan bekalan air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Sulaiman Basdli, 59, di Kampung Batu Hitam berkata, tekanan air rendah yang dialami penduduk juga mungkin disebabkan saiz paip air yang kecil ke rumah mereka.
Katanya, apa yang berlaku bukan masalah tidak cukup tetapi air tidak boleh sampai ke paip rumah-rumah penduduk.
“Setiap kali berlaku tekanan air rendah, ia memberi masalah kepada penduduk apabila keperluan harian terjejas, lebih teruk jika ia berlaku berhari-hari,” katanya.
Seorang penduduk yang mahu dikenali Mohd. Zaki, 78, berkata, masalah itu menjejaskan penduduk terutama apabila berkumpul pada hari raya dan mereka yang mempunyai anak kecil.
“Semasa hari raya ramai yang berada di kampung, sudah tentu penggunaan air meningkat. Kami berharap pihak yang berkenaan menyelesaikan masalah yang kami hadapi ini,” katanya. – UTUSAN











