Syarikat besar diseru pimpin usaha kelestarian

Syarikat besar diseru pimpin usaha kelestarian

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat besar digesa memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong usaha negara mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, selari dengan matlamat Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun kelestarian sering dikaitkan dengan tanggungjawab individu, hakikatnya kerajaan dan sektor korporat merupakan pemain utama yang mampu memberikan impak lebih besar.

“Contohnya, syarikat seperti IKEA mempunyai jejak karbon yang besar daripada aspek logistik, pembelian dan rantaian bekalan.

“Jika mereka menetapkan syarat kelestarian kepada vendor, impaknya terhadap alam sekitar sudah pasti jauh lebih besar berbanding sumbangan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Panel Solar Baharu sempena Hari Bumi Sedunia 2025 di gedung IKEA Damansara, di sini hari ini.

Sempena sambutan Hari Bumi Sedunia, IKEA Malaysia melancarkan pemasangan 2,668 panel solar di bumbung gedung tersebut.

Pemasangan yang meliputi kawasan hampir 12,000 meter persegi itu dijangka mampu menjana sehingga dua megawatt-jam (MWj) tenaga elektrik setahun sekali gus menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan tenaga gedung itu.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, inisiatif tersebut dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 1,330 tan metrik setahun dan menjimatkan kos operasi sebanyak RM1 juta setahun.

“Dulu, kos panel solar sangat mahal dan tarif elektrik pula murah. Maka pelaburan mengambil masa tujuh hingga lapan tahun untuk pulang modal.

“Tapi sekarang, tarif elektrik meningkat dan harga panel solar semakin rendah. Dalam tiga hingga lima tahun pun sudah boleh pulang modal,” katanya.

Menurut beliau, dasar kerajaan seperti penyasaran semula subsidi turut menggalakkan syarikat besar untuk beralih kepada tenaga bersih.

“IKEA contohnya tidak lagi menerima subsidi. Jadi mereka melihat sendiri keperluan untuk menjimatkan kos dengan melabur dalam tenaga boleh baharu,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan modal, kepakaran dan skala operasi yang dimiliki, syarikat besar bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon secara ketara, malah turut mempengaruhi hala tuju industri secara menyeluruh.

“Bagi menyokong usaha ini, kerajaan turut menyediakan pelbagai insentif termasuk pengecualian dan potongan cukai bagi pelaburan dalam tenaga hijau seperti sistem solar, pengurusan kompos dan penggunaan kenderaan elektrik (EV),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya