TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengambil beberapa langkah luar biasa bagi melindungi keselamatan dirinya dan struktur kepimpinan Republik Islam Iran di ketika peningkatan serangan Israel terhadap wilayah Iran.
Menurut laporan The New York Times yang memetik sumber daripada tiga pegawai kanan Iran yang terlibat dalam pelan kecemasan perang, Khamenei kini telah menggantung semua bentuk komunikasi elektronik dan hanya berhubung dengan panglima tenteranya melalui seorang pembantu kanan yang sangat dipercayai bagi mengelakkan sebarang pengesanan.
Pemimpin berusia 85 tahun itu kini berlindung di sebuah bunker dan sudah menyusun rantai pengganti dalam barisan komando tentera, termasuk menamakan tiga ulama kanan sebagai calon pengganti sekiranya berlaku kematian mendadak.
Langkah-langkah berkenaan dipercayai diambil selepas wujud ancaman serius daripada Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa sedang merancang untuk membunuh beliau, menurut sumber tersebut.
Laporan itu turut menyatakan anak lelaki Khamenei, Sayyid Mojtaba Khamenei yang sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti berpotensi tidak tersenarai dalam nama-nama calon rasmi.
Keadaan keselamatan yang semakin meruncing turut mendorong Kementerian Perisikan Iran mengenakan sekatan tegas termasuk larangan penggunaan telefon dan peranti elektronik dalam kalangan pegawai atasan dan komander tentera bagi mengelakkan kebocoran maklumat strategik.
Krisis semakin memuncak sejak 13 Jun lalu apabila Israel melancarkan siri serangan udara ke atas beberapa lokasi strategik di Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, mencetuskan serangan balas dari Teheran.
Menurut kenyataan pihak berkuasa Israel, sekurang-kurangnya 25 rakyatnya terbunuh manakala ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Iran pula memaklumkan serangan udara Israel telah mengorbankan 430 orang rakyat Iran dan mencederakan lebih 3,500 yang lain setakat ini.









