Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman perlu bebas

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman perlu bebas

HANIFF KHATRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keanggotaan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) perlu bebas daripada campur tangan eksekutif bagi memastikan integriti dan kebebasan badan kehakiman terus terpelihara.

Peguam kanan, Haniff Khatri berkata, walaupun Perdana Menteri tidak lagi mencadangkan nama secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, beliau masih melantik majoriti ahli SPK.

Justeru kata beliau, Perdana Menteri berpotensi mempe­ngaruhi sesiapa yang akan dipilih oleh SPK dan akhirnya, nama itu kembali ke tangan Perdana Menteri untuk dibawa kepada Agong.

“SPK dianggotai sembilan orang ahli, iaitu empat ahli secara automatik terdiri daripada Ketua Hakim Negara, Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, manakala lima ahli lagi terdiri daripada seorang hakim dan empat tokoh masyarakat yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“SPK perlu bebas daripada pengaruh eksekutif dengan tidak lagi membenarkan Perdana Menteri melantik lima ahlinya.

“SPK yang bebas akan mencadangkan tiga nama calon hakim dan Perdana Menteri boleh memilih salah satu untuk dikemukakan kepada Agong. Jika tidak bersetuju, beliau boleh meminta dua nama lain mengikut Seksyen 27 Akta 2009,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam ucapan di Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta lalu telah disalah tafsir.

Kata beliau, terdapat dakwaan kononnya beliau (Tun Tengku Maimun) mahu menggugurkan sepenuhnya peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan kehakiman.

“Hakikatnya, dakwaan itu tidak benar. Apa yang beliau nyatakan hanyalah bahawa Perdana Menteri tidak sepatutnya melantik ahli SPK, namun Perdana Menteri masih mempu­nyai peranan untuk membawa nama calon hakim kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Haniff berkata, isu yang dibangkitkan bukan datang daripada Tengku Maimun semata-mata, tetapi telah menjadi perbincangan meluas dalam kalangan pelbagai pihak termasuk para peguam, Majlis Peguam dan ahli akademik sejak setahun yang lalu.

“Apa yang dilakukan oleh Tengku Maimun hanyalah meru­juk kepada isu semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

“Beliau (Tengku Maimun) menyatakan bahawa jika cadangan untuk mengurangkan penglibatan Perdana Menteri dalam pelantikan ahli SPK diterima, ia berpotensi untuk mengukuhkan lagi prinsip pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan kehakiman,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Hakim Negara memberi saranan untuk menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata, sejak kebelakangan ini terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim.

“Perubahan sebegini, pada pandangan saya, akan mengukuhkan lagi ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan serta memastikan pelantikan hakim benar-benar berasaskan merit dan bebas daripada sebarang persepsi pe­ngaruh politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×