BESUT: Gara-gara takut dimarahi suami kerana meminjamkan barang kemas kepada rakan, seorang suri rumah membuat laporan palsu mendakwa disamun.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, wanita berusia 30 tahun itu membuat aduan kira-kira pukul 3.40 petang semalam di Ibu pejabat Polis Daerah Besut.
“Wanita terbabit mendakwa dirinya disamun oleh dua orang suspek bermotosikal dan bersenjatakan sebilah pisau di sebuah kawasan yang sunyi di Kampung Hutan Nangka dekat Jerteh.
“Dia mendakwa dua suspek terbabit menahannya dan mengacukan sebilah pisau serta merampas barang kemas yang dipakainya sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM7,000,” katanya di sini hari ini.
Azamuddin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian samun itu tidak berlaku sepertimana didakwa wanita berkenaan dan dia telah membuat laporan palsu.
Sehubungan itu, satu siasatan dijalankan di bawah Seksyen 182 kanun keseksaan iaitu maklumat palsu dengan niat menyebabkan seorang penjawat awam menggunakan kuasanya yang sah disisi undang-undang yang dikhuatiri boleh mendatangkan bencana kepada seorang lain. – UTUSAN