PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyifatkan pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia semalam sebagai satu kehilangan tokoh besar dalam negara dan juga perkhidmatan awam.
Wan Ahmad Dahlan berkata, sepanjang beliau berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri ke-5 itu, banyak perkara yang telah dipelajari terutamanya dalam menangani krisis.
Beliau yang sudah berkhidmat hampir 30 tahun dalam perkhidmatan awam, Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Lah itu juga merupakan seorang pemimpin yang sangat tenang dan tidak tergopoh gapah dalam mengambil suatu tindakan.
“Pendekatan yang digunakan oleh Tun Abdullah sebenarnya adalah mudah iaitu beliau sentiasa melihat perkara atau isu itu bukan sesuatu yang tidak boleh diselesaikan, tetapi sebagai sesuatu yang boleh selesai dengan kaedah dan cara yang lebih berhemah dan tertib.
“Sepanjang ingatan saya, tidak pernah ada perkara-perkara yang di luar daripada kebiasaan, beliau sentiasa tenang, malah beliau lebih kepada bersifat memberi pendidikan kepada pegawai-pegawai kerajaan pada masa itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Ukhuwah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.
Tun Abdullah, 85, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), akibat masalah pernafasan.
Wan Ahmad Dahlan berkata, antara sumbangan signifikan Allahyarham terhadap sektor perkhidmatan awam adalah berkaitan sistem penyampaian di mana beliau amat menekankan agar penjawat awam sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang menjadi ikutan sehingga ke hari ini.
“Itu lah antara perkara yang saya rasa sumbangan beliau sangat signifikan iaitu memberi penekanan kepada penjawat awam untuk beri perkhidmatan sehabis baik supaya rakyat dapat merasai apa jua perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak kerajaan,” katanya. – UTUSAN