PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima satu maklumat berkaitan penyeludupan barangan berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.
Menurut sumber, kegiatan penyeludupan barangan berkenaan yang tidak mengikut standard operasi prosedur (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun 2024.
“Maklumat melibatkan kegiatan penyeludupan barangan berbahaya itu telah diterima pada awal tahun ini dan SPRM telah membuka satu kertas siasatan.
“Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dengan diikrarkan sebagai produk isi rumah,” katanya hari ini.
Sumber berkata, SPRM kini sedang menyiasat syarikat serta pihak terlibat dan termasuk akan mengenal pasti isu kelemahan tata kelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah diseludup masuk.
Katanya, SPRM akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan lapangan terbang berkenaan termasuk agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan.
Jelasnya, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak-pihak tertentu untuk tujuan siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan mengenai siasatan kes berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN