KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan dalaman bagi meneliti isu membabitkan seorang pegawainya yang diperiksa pihak polis dalam serbuan Op Noda Khas di ibu negara.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum berhubung pemeriksaan mengejut Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur yang turut melibatkan seorang pegawainya.
“Siasatan lanjut telah diserahkan kepada PDRM dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut.
“Sehubungan itu, SPRM juga telah membuka satu kertas siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci penglibatan pegawai tersebut untuk memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang,” katanya.
SPRM menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawainya didapati telah melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti institusi ini.
“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang menjadi teras perjuangan SPRM.
“SPRM kekal komited untuk memelihara integriti perkhidmatan awam dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah tidak terjejas,” katanya.
Terdahulu, tular berkenaan tujuh penjawat awam termasuk pegawai SPRM diperiksa polis dalam serbuan Op Noda Khas di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Difahamkan, tiga penjawat awam dikesan positif dadah manakala empat lagi termasuk pegawai SPRM dilaporkan negatif. – UTUSAN