Penyanyi dan komposer, Aisha Retno menasihatkan para pelajar SPM 2024/2025 agar tidak hanya melihat keputusan peperiksaan sebagai penentu arah hidup mereka tetapi sebagai panduan dalam melalui kehidupan.
Dalam perkongsian di Instagram, Aisha menekankan bahawa ilmu yang diperoleh sepanjang lima tahun bersekolah harus diaplikasikan dalam kehidupan seharian, bukan hanya untuk lulus peperiksaan.
“Ilmu yang kalian pelajari di sekolah bukan hanya untuk mendapat keputusan yang baik, tetapi untuk digunakan dalam cara bertutur, berfikir, dan bertindak dalam kehidupan,” katanya.
Aisha juga mengajak mereka untuk melihat keputusan SPM sebagai permulaan kepada perjalanan hidup yang lebih luas.
“Apa jua keputusan yang kalian peroleh, ia tidak mendefinisikan siapa diri kalian.
“Jika berjaya, alhamdulillah, hasil usaha keras kalian selama ini. Tetapi jika tidak seperti yang diharapkan, anggap ia sebagai satu batu loncatan dan jangan sesekali putus asa,” katanya.
Katanya lagi, dia berharap dengan motivasi ini, pelajar akan terus melangkah ke hadapan, mengejar masa depan yang setinggi Gunung Himalaya, dengan usaha yang gigih.
“Aisha harap dapat memotivasikan kalian untuk terus maju demi hari muka kalian yang berpotensi setingkat gunung himalaya pastinya jika disajikan bersama usaha yang cukup!,” katanya.
Dalam pada itu, Aisha turut berkongsi pengalamannya bahawa keputusan SPM bukanlah penghalang untuk mencapai cita-citanya dalam bidang seni.
“Siapa sangka dengan keputusan SPM saya, kini saya dapat mengejar impian saya sebagai penyanyi dan penulis lagu,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun ilmu yang diperoleh ketika sekolah itu tidak berkaitan dengan bidang pekerjaan, para pelajar haruslah sentiasa memanfaatkan dan bukannya mengabaikan ilmu tersebut.
“Walaupun nanti tiada kena mengena dengan skop pekerjaan sentiasalah ambil cebisan ilmu -ilmu itu untuk diaplikasikan dan bukan diabaikan.
“Belajar selagi mampu, gapai selagi waktu tak cemburu, kerana ilmu adalah kunci untuk masa depan yang lebih cerah!” katanya. -UTUSAN