PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki kebangsaan, Sarjit Singh berharap lebih ramai pemain remaja dapat menarik perhatiannya untuk dipanggil menyertai kem latihan skuad negara pada masa akan datang.
Skuad Speedy Tigers kini melakukan persiapan bagi menghadapi enam aksi persahabatan di Australia pada 20 April hingga 2 Mei ini dan daripada 30 pemain negara yang dipanggil lima daripadanya adalah daripada pasukan remaja.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, Sarjit percaya dan berharap agar lebih ramai pemain remaja dapat dipanggil secara konsisten berikutan Speedy Tigers memerlukan tenaga muda.
“Kita memiliki pemain (muda) namun kita perlu memastikan momentum ini berterusan. Kita perlu ada bekalan pemain (muda) yang konsisten.
“Tak boleh lima orang sekarang dan kemudiannya pada tahun depan tiada siapa yang akan dipilih.
“Harus ada transisi yang baik daripada peringkat usia remaja kerana mereka akan mencapai puncak prestasi sekitar umur 24 hingga 27 tahun,” katanya.
Seramai lima pemain daripada skuad remaja telah dipanggil daripada senarai 30 pemain untuk menyertai kem latihan iaitu Andywalfian Jeffrynus, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Haris Iskandar Osman, Adam Ashraf Mohd Johari dan T. Naaveennash Panicker.
Selepas menghadapi siri jelajah di Australia, Speedy Tigers akan menghadapi Piala Negara-Negara, Piala Asia, Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan SEA Thailand 2025. – UTUSAN











