PONTIAN: Linangan air mata kegembiraan mengiringi kejayaan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Baloi, yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Siti Zahirah Zulkifli, 18, anak sulung bagi pasangan Asmah Kamal, 43, dan Zulkifli Siron, 47, menepati ramalan mencapai kejayaan tersebut.
Siti Zahirah memberitahu, tiada rahsia dalam mencapai kejayaan, hanya memberikan tumpuan ketika dalam kelas dan mengulang kaji mata pelajaran yang tidak difahami pada waktu malam di rumah.
“Alhamdulillah, pencapaian sebenar telah meningkat berbanding pada peperiksaan percubaan sebelum ini, doa dan pengorbanan ibu bapa tidak akan saya lupakan,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Parit Sanglang, dekat sini semalam.
Sementara itu, Asmah mengaku sentiasa mendoakan kejayaan kedua-dua anaknya setiap kali solat.
“Sebagai ibu, saya amat gembira dengan keputusan ini kerana yakin dia boleh melakukannya seperti yang dicapai semasa percubaan SPM dengan mendapat 8A,” katanya.
Setiap hari, suri rumah itu menghantar dan mengambil anaknya dari sekolah dengan memandu sejauh 20 kilometer,
Suaminya juga tidak menyangka Siti Zahirah mampu meraih keputusan yang cemerlang walaupun tanpa kelas tambahan atau tuisyen.
Zulkefli, pekebun kelapa sawit berkata, anaknya memang menunjukkan pencapaian terbaik dalam bidang akademik sejak sekolah rendah. – UTUSAN










