BALIK PULAU: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja masing-masing melibatkan dua warga tempatan dan warga asing dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11 pagi di Kampung Permatang Damar Laut di sini, polis menahan sepasang kekasih warga tempatan iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang lelaki berusia 42 tahun.
“Lelaki tersebut bekerja sebagai peniaga dan berasal dari Kelantan manakala wanita itu pula tidak bekerja dan berasal dari Balik Pulau di sini.
“Pasangan kekasih ini dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja dan kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta dikesan positif dadah (ketika ditahan),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, hari ini.
Menurut Sazalee, susulan penangkapan pasangan kekasih itu, polis kemudian menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Lengkok Pemancar, Gelugor, sekitar pukul 3.30 petang dan berjaya memberkas dua lelaki warga asing dari Myanmar dan Bangladesh yang masing-masing berusia 25 dan 30 tahun.
“Pasangan kekasih berkenaan dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada kedua-dua lelaki warga asing ini sebelum membungkus semula dadah jenis ganja yang diperoleh itu dalam paket kecil untuk dijual semula,” katanya.
Sazalee berkata, hasil serbuan di Gelugor, polis berjaya merampas 17 ketulan ganja seberat lebih 12.8 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM38,493.
“Rampasan (dadah) ini (jika terlepas ke pasaran gelap) boleh digunakan oleh kira-kira 25,668 penagih,” katanya yang memberitahu, kedua-dua suspek warga asing itu dipercayai aktif menjalankan pengedaran dadah sejak awal tahun ini khususnya di kawasan Bayan Lepas dan Gelugor.
Katanya, saringan air kencing pula mendapati, suspek lelaki warga Myanmar itu negatif dadah manakala rakannya dari Bangladesh pula positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan tetrahydrocannabinol.
“Kedua-duanya bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya yang memaklumkan, dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Wave serta sebuah kereta jenis Toyota Camry turut disita dalam serbuan terbabit.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 15 kali sebatan. – UTUSAN