Siasatan buktikan wujud elemen pengabaian kes Zayn Rayyan

Siasatan buktikan wujud elemen pengabaian kes Zayn Rayyan

TARIKH 21 Julai menentukan sama ada ibu bapa Zayn Rayyan bela diri atau dibebaskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam dimaklumkan bahawa terdapat elemen pengabaian ke atas kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin  sepanjang siasatan dijalankan.

Pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohd. Hafizee Ismail berkata, perkara itu selepas mengetahui Zayn Rayyan berjalan di belakang ibunya, Ismanira Abdul Manaf sebelum kanak-kanak itu hilang hari yang sama.

“Hasil siasatan saya mendapati tertuduh kedua (Ismanira) bertindak berjalan di hadapan dan meninggalkan serta membiarkan si mati (Zayn Rayyan) berada di bahagian belakang.

“Tindakan tertuduh untuk berjalan di hadapan menyebabkan tertuduh tidak dapat melihat apa yang berlaku di belakang, dia seolah-olah membiarkan si mati tanpa pengawasan,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.

Dalam pada itu, menjelaskan jawapan tidak pasti terhadap soalan bahawa tiada saksi melihat tertuduh mengabaikan Zayn Rayyan oleh peguam bela, Haresh Mahadevan, Mohd. Hafizee berkata, jawapan itu kerana beliau tidak mengetahui keterangan saksi lain di mahkamah.

Raja Zaizul Faridah: Peguam ada tanya bahawa 27 saksi yang telah memberi keterangan di mahkamah, tiada seorang saksi pun lihat tertuduh pertama (Zaim Ikhwan) dan tertuduh kedua (Ismanira) atau mereka bersama-sama telah mengabaikan Zayn. Boleh jelaskan kenapa jawab tidak pasti?

Mohd. Hafizee: Saya menjawab tidak pasti sebab saya tidak tahu apa keterangan saksi-saksi yang diberitahu dalam mahkamah.

Dalam prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-28 itu memberitahu bahawa tiada seorang saksi melihat kedua tertuduh, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengabaikan anaknya, Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Disember 2023 semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela yang mewakili tertuduh.

Raja Zaizul Faridah yang mengendalikan pendakwaan kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihaknya tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil selain turut menawarkan seramai 23 orang saksi kepada pihak pembelaan.

“Kami tiada lagi saksi lain, dengan ini kami menutup kes pendakwaan. Pihak pendakwaan juga mempunyai beberapa orang saksi untuk ditawarkan kepada pihak pembelaan,” katanya.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh kemudian menetapkan tarikh 21 Julai ini bagi keputusan kes pengabaian Zayn Rayyan yang menentukan nasib sama ada Zaim Ikhwan dan isterinya, Ismanira akan dipanggil bela diri atau dibebaskan berhubung pertuduhan tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN