SEREMBAN: Seorang lagi suspek lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang remaja perempuan di Negeri Sembilan pada 10 April lalu, berjaya diberkas polis dalam satu serbuan di sini, semalam.
Suspek ditahan kira-kira pukul 3.30 petang oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan hasil risikan berterusan yang dijalankan sejak kejadian dilaporkan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang diberkas setakat ini adalah lapan orang, terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 dan suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perintah reman telah dikeluarkan oleh Majistret Syed Farid Syed Ali, pagi tadi.
Menurut Timbalan Pengarah JSJ (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, suspek dipercayai memainkan peranan penting dalam insiden penculikan berkenaan.
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti saki-baki individu lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian culik pada pukul 5.45 petang 10 April lalu membabitkan mangsa seorang perempuan berusia 16 tahun dengan permintaan wang tebusan berjumlah RM2 juta.
Pada 14 April lalu, seorang suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati oleh polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor selepas cuba melarikan diri secara agresif termasuk memandu melawan arus dan melanggar kenderaan pasukan keselamatan. – UTUSAN