Semak semula kawasan perumahan dekat paip gas

Semak semula kawasan perumahan dekat paip gas

ANTARA lokasi yang terjejas dengan letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pembangunan perumahan yang berdekatan dengan saluran paip gas susulan tragedi paip gas di Putra Heights, Subang Jaya,  kelmarin.

Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Aweng Eh Rak berkata, sebarang pembangunan infrastruktur yang dilakukan di atas aliran paip gas boleh mewujudkan tekanan luar meskipun saluran berada di bawah tanah.

Katanya, gangguan luar dan dalam aliran saliran gas seperti pengaratan berkemungkinan juga menjadi punca paip pecah pada bila-bila masa.

“Pengaratan berlaku biasanya disebabkan oleh mikrob. Selain itu, masalah teknikal iaitu kimpalan yang tidak betul dilakukan juga merupakan punca yang agak besar.

“Pelaksanaan pembinaan kediaman dan aktiviti komersial di atas aliran paip gas merupakan kawasan risiko tinggi kerana mampu memberi tekanan luar terhadap paip gas. Jadi kerajaan perlu semak semula SOP kawasan perumahan dan projek pembangunan lain di lokasi berhampiran paip gas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, negara dikejutkan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Height yang menyebabkan kerosakan harta benda awam manakala ratusan penduduk berhampiran mengalami kecederaan.

Ketika awal kejadian, api dianggar menjulang lebih 30 meter ke udara manakala suhu api mencecah 1,000 darjah Celsius.

Pada awalnya, penduduk dikejutkan dengan letupan besar umpama letusan gunung berapi diikuti dengan kebakaran mengakibatkan mereka lari bertempiaran meninggalkan kediaman malah ada yang terjun ke sungai berdekatan akibat bahang kebakaran terbabit.

Dalam pada itu, Institusi Jurutera Malaysia (IEM) turut menyuarakan kebimbangan berhubung jarak saluran paip gas yang terlalu hampir dengan kawasan perumahan susulan insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights.

Menurut IEM, langkah keselamatan dan perlindungan sedia ada perlu dikaji semula secara menyeluruh dan ditambah baik sekiranya perlu bagi mengelakkan tragedi serupa daripada berulang.

“Sebagai badan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan, IEM sedia memberi sokongan dan panduan kepada agensi kerajaan serta pihak berkuasa tempatan dalam menyiasat insiden ini,” katanya dalam kenyataan.

Pensyarah Kanan Pengajian Kejuruteraan Awam, Kolej Pengajian Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ts. Dr. Mohd. Amizan Mohamed @ Arifin pula berkata, aktiviti pembinaan masih boleh dijalankan di kawasan berisiko termasuk di laluan paip gas.

Katanya, namun ia memerlukan pematuhan terhadap syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta pemantauan rapat seperti yang tertakluk di bawah Akta Kemudahan Petroleum (Utiliti) 2012.

“Antara yang perlu dipatuhi termasuk mendapatkan kelulusan atau kebenaran daripada pemilik utiliti sebelum sebarang kerja pembinaan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, kerja pembinaan termasuk mengorek tanah di kawasan paip gas mempunyai syarat-syarat khusus seperti mengenal pasti kedudukan dan jarak korekan dibuat serta had penggunaan jentera-jentera berat untuk mengurangkan risiko kemalangan.

“Masih boleh dijalankan kerja-kerja pembinaan, namun kontraktor atau pemaju perlu mengenal pasti kedudukan paip terlebih dahulu dan mendapatkan kebenaran daripada pemilik utiliti berkenaan.

“Kemudian, mengehadkan penggunaan jentera apabila kadar korekan tanah semakin hampir dengan kedudukan paip iaitu satu meter. Selebihnya hendaklah menggunakan kaedah pengorekan secara manual, tidak melibatkan jentera berat,” katanya.

Jelas Mohd Amizan, bagi mengurangkan risiko kemalangan, kontraktor atau pemaju perlu melaporkan kepada pemilik utiliti sekiranya berlaku kebocoran sebelum kerja-kerja pengorekan atau pembinaan dilakukan.

“Jika berlaku kebocoran, ia boleh dikesan menggunakan alat pengesan gas. Sudah tentu bagi kontraktor berpengalaman dengan pengendalian paip gas, ia dilakukan lebih awal untuk mengelak daripada sebarang bencana,” katanya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×