GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi memastikan semua bangunan kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak dibiarkan kosong dan terbiar tanpa digunakan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana melibatkan pembaziran wang rakyat yang besar serta menjejaskan pemandangan dan imej negara.
Beliau berkata, sebagai contoh, laporan media tempatan pada Januari lalu menunjukkan bangunan Mahkamah Persekutuan berstatus warisan di tengah ibu kota Kuala Lumpur kini terbengkalai tanpa sebarang penggunaan.
“Pada Disember 2024 pula, kompleks pejabat kerajaan negeri di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak yang sebelum ini digunakan untuk pelbagai urusan masyarakat kini juga dilaporkan terbiar kosong,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Mohideen, di Pulau Pinang pula, Kompleks Pasar Awam Batu Ferringhi yang dibuka sejak Ogos 2020 tidak lagi digunakan walaupun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti medan selera, gelanggang badminton dan dewan serbaguna.
“Bangunan seperti ini sepatutnya dibangunkan semula atau dimanfaatkan supaya tidak membazir serta tidak menimbulkan tanggapan negatif terhadap pengurusan aset negara,” katanya.
Jelas beliau, bangunan kosong berisiko mengalami kerosakan lebih teruk jika terus dibiarkan, sekaligus memerlukan kos pembaikan lebih tinggi pada masa hadapan.
“Kerajaan perlu menilai keadaan fizikal bangunan terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia masih sesuai digunakan atau perlu diroboh dan digantikan dengan bangunan yang baharu.
“Sebagai contoh, bangunan kuarters kakitangan Jabatan Perikanan di Batu Maung yang sepatutnya dirobohkan, namun, masih terbiar tanpa tindakan sehingga kini.
“Dalam hal ini, kita perlu memanfaatkan semua ruang yang ada demi kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti serta memastikan penggunaan sumber yang lebih cekap,” katanya.
Sehubungan itu katanya, CAP menggesa semua pihak yang diberikan amanah untuk menguruskan aset kerajaan agar melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.
“Pemantauan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan semua bangunan milik kerajaan, sama ada Persekutuan mahupun negeri, tidak dibiarkan terbiar demi kebaikan bersama,” katanya.-UTUSAN