KUALA LUMPUR: Jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi terhadap Sarawak akan terus dikenang oleh rakyatnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Perdana Menteri Kelima itu.
Jelasnya, negara kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan jasa kepada negeri dan juga negara.
“Dalam konteks negara, beliau telah memimpin negara kita dengan membawa konsep Islam Hadhari iaitu satu konsep untuk memasyarakatkan dan membudayakan satu budaya yang begitu baik.
“Dalam konteks negeri Sarawak pun, Allahyarham telah membawa Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCOR) yang sekarang ini sangat berjaya.
“Banyak lagi sumbangan lain tetapi inilah sebahagian daripada sumbangan besar kepada negara dan juga Sarawak khususnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Negara.
Tambahnya, beliau dan kerajaan negeri Sarawak mendoakan agar roh ditempatkan bersama orang beriman dan mendapat syurga Allah SWT.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Allahyarham juga merupakan pemimpin yang tenang dan sabar serta tidak suka bermusuh sepanjang tempoh berkhidmat serta dalam arena politik.
Justeru, katanya, pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang besar kepada negara rakyat terutama golongan bumiputera.
“Saya masih ingat semasa saya Menteri Usahawan dan Pembangunan Koperasi, beliau sentiasa memberi dorongan serta menyokong semua usaha terutama dalam mengangkat agenda bumiputera,” katanya. – UTUSAN










