PETALING JAYA: Ahli parlimen, Syed Saddiq tampil berkongsi momen pelakon, Bella Astillah sibuk berperang di dapur menyediakan juadah untuk majlis sambutan Aidilfitri di rumahnya, baru-baru ini.
Menurut Saddiq, dia tidak pernah memaksa Bella menyediakan juadah raya buat tetamu sebaliknya mencadangkan aktres itu menggunakan khidmat katering.
“Dia tengah masak, 30 saat sebelum itu dia dekat luar tengah duduk cangkung, bersihkan kuali. Masuk dalam balik, hidangkan ke luar.
“Saya tak paksa, perkara sebaliknya berlaku. Saya suruh tempah katering , Bella marah kata mana boleh,” katanya menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok.
Enggan menerima cadangan ahli parlimen tersebut, Bella memberitahu dia lebih gemar memasak juadah Aidilfitri sendiri kerana pengalaman itu lebih menyeronokkan dan bermakna.
“Sebab dekat rumah dia tak ada kuali yang banyak, tapi dia kata bukannya nak masak selalu untuk kenduri. Tak apa, kita guna kuali itu dah kotor kita basuh dan guna balik.
“Tapi pengalaman yang sangat seronok tanpa paksaan. Sebab ada yang cakap ‘jangan paksa Bella’. Kawan-kawan dia (Syed Saddiq) marah dia.
“Mungkin korang dengar macam untuk 100 orang tapi korang lupa Bella kan berniaga laksa. Kita sudah biasa last minit orang nak juga laksa. Dah biasa huru-hara itu, dah boleh kawal,” jelasnya.
Dalam masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu meluahkan rasa segan apabila Syed Saddiq sempat memperkenalkan rakan-rakannya ketika Bella ligat menyediakan makanan di dapur.
“Dia bawa kawan masuk dapur. Nasib dia kenalkan, kalau tak saya rasa kawan dia ingat saya ini pembantu dari Filipina. Segan saya ketika itu.
Keakraban Bella dan Syed Saddiq semakin menuai perhatian dalam kalangan warganet sehingga mencetuskan fenomena yang digelar sebagai BASS.