KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin menyifatkan kemenangan yang diperoleh melalui kes saman fitnah terhadap seorang pendakwah bebas adalah kemenangan buat seluruh petugas kesihatan sewaktu pandemik Covid-19.
Ujarnya, Mahkamah Tinggi sendiri mengatakan bahawa kenyataan fitnah defendan, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau turut dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq turut menjejaskan kredibiliti petugas barisan hadapan.
“Hakim membuat dapatan bahawa kenyataan fitnah bukan sahaja menjejaskan kredibiliti saya (ketika menjawat Menteri Kesihatan) tetapi juga menjejaskan semangat kredibiliti semua yang terlibat terutama frontliners (petugas barisan hadapan) dalam usaha kita perangi Covid-19.
“Jadi ini bukan sahaja kemenangan untuk kebenaran saya tetapi kemenangan pengiktirafan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan semua yang terlibat dalam usaha bebaskan Malaysia daripada pandemik,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kes.
Menyentuh mengenai ganti rugi RM2.5 juta, Khairy menyatakan perkara penting ialah pengajaran yang datang bersama jumlah tersebut.
“Dari segi nilai yang ditetapkan (RM2.5 juta) bukan soal nilai tetapi mesej isyarat yang dihantar mahkamah bahawa fitnah terutama dibuat sewaktu krisis terhadap usaha dibuat untuk selamatkan negara harus dihukum dengan jumlah besar supaya ia menjadi isyarat dan perkara tidak diulangi pada masa akan datang,” ujar bekas Ahli Parlimen Rembau itu.
Terdahulu, Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan berkata, Mohd. Rasyiq bersikap tidak bertanggungjawab apabila ‘menyerang’ Khairy ketika semua rakyat ketakutan dengan virus baharu yang tidak pernah dilihat sebelum ini, kecuali mungkin dalam filem.
“Namun, ia bukan lagi sebuah filem yang direka secara kreatif untuk menghiburkan. Realitinya perkara ini berlaku. Nampaknya Covid-19 telah menyebabkan sejumlah besar kematian di Malaysia pada ketika itu, terutamanya di kalangan mereka berisiko tinggi.
“Selaras keputusan antarabangsa, plaintif (Khairy) perlu membuat keputusan pantas berdasarkan bukti dan nasihat yang ada yang diberikan kepadanya oleh doktor, pegawai kesihatan awam dan penasihat perubatan dan saintifik,” kata hakim itu.
Selain itu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin turut menimbulkan persoalan berhubung persepsi masyarakat terhadap plaintif selepas defendan membuat kenyataan berunsur fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.
“Kes ini seharusnya menjadi pengajaran bukan sahaja kepada defendan, tetapi juga kepada semua individu untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, tidak diprovokasi dan palsu, terutamanya dalam masa kita menghadapi krisis hidup dan mati,” katanya. – UTUSAN










