Roger Ng dipanggil saksi pembelaan kes 1MDB 

Roger Ng dipanggil saksi pembelaan kes 1MDB 

ROGER NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa akan dibawa ke Mahkamah Tinggi sebagai saksi dalam kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam bela Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, individu yang disabitkan kesalahan di New York berhubung skandal kewangan 1MDB dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun itu akan ditemubual pihaknya terlebih dulu jika dia bersedia berbuat demikian.

“Mungkin beliau (Roger Ng) boleh menyatakan yang Najib tidak bersalah, kita tidak tahu.

“Bagi kes kami (pembelaan) ialah mengapa Najib seorang sahaja yang berada dalam kandang tertuduh?

“Sedangkan mereka daripada pihak bank, Bank Negara Malaysia (BNM), dan bekas pegawai tertinggi 1MDB hanya dipanggil sebagai saksi, itu sahaja, tidak lebih dari itu,” katanya dalam sidang akhbar di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam.

Pada prosiding minggu lalu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan akan menemu bual Roger Ng terlebih dulu sebelum memutuskan sama ada beliau akan dipanggil sebagai saksi, jika perlu.

Keterangan Roger Ng boleh memberikan bukti penting dalam merungkai skandal kewangan 1MDB yang menyaksikan berbilion-bilion diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik negara itu.

Ketika ditanya sama ada pernyataan saksi Roger Ng akan disediakan sebelum perbicaraan, Muhammad Shafee berkata, dokumen itu hanya akan disediakan jika dia bersedia untuk ditemu bual.

“Jika dia tidak mahu ditemu bual, bagaimana kita dapat menyediakan pernyataan saksi? Dalam keadaan sedemikian, maka dia akan terus dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa bekas pegawai bank Goldman Sachs itu telah dihantar pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.

Najib sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN