SETIU: Bermula daripada mengisi masa lapang, seorang warga emas dari Kampung Bari di sini, kini menjana pendapatan pendapatan sampingan hasil menjual kerang remis di luar musim atau selepas musim tengkujuh.
Lazimnya musim remis adalah dari November hingga Februari iaitu ketika musim tengkujuh, tetapi tahun ini meskipun telah memasuki April ia masih terdapat di sepanjang pesisir Pantai Mangkuk ke Pantai Bari.
Wan Yusoff Abd. Arip, 60, berkata, aktiviti mencari remis dilakukan sejak lima tahun lepas ketika waktu lapang dan dijual dari rumah ke rumah atau di Pasar Rhu 10.
“ Ketika ombak besar atau air pasang, remis dihanyutkan dan dibawa naik ke pesisir pantai yang mana ia mampu mencecah sehingga 20 hingga 30 kilogram sehari,” katanya ketika ditemui di Pantai Penarik di sini.
Menurut Wan Yusoff, dia menggunakan pengais yang dibuat khas untuk mencari remis danmerupakan aktiviti tahunan dilakukannya bagi mencari sumber pendapatan sampingan.
“Saya menggunakan pengais ditempah khas dengan saiz jaring tertentu bagi memastikan hanya remis bersaiz besar kekal di dalam jaring. Ini untuk memastikan remis kecil dapat membesar dan membiak agar tidak pupus,” katanya.
Bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata, setiap hari dia menyusuri pesisir pantai kira-kira tiga hingga lima kilometer (KM) untuk mencari remis.
Menurutnya, remis tersebut dijual pada harga RM10 bagi 800 gram dan dibungkus siap bersama air masin (air laut) yang mana dia mampu meraih sehingga RM300 untuk seminggu.
“Remis ini mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan dan ia perlu direndam terlebih dahulu di dalam air masin selama beberapa jam sebelum dimasak agar pasir di dalamnya dapat dikeluarkan.
“Remis sedap dimasak pelbagai hidangan termasuk gulai kuning, goreng berlada mahupun dijadikan sebagai remis jeruk,” katanya.










