KUALA LUMPUR: Seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki, tahun lalu.
Juvana itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibicakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.
Mengikut pertuduhan, remaja berusia 17 tahun itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun (ketika kejadian) pada pukul 2.30 petang, pertengahan April tahun lalu di sebuah asrama pusat pengajian agama di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Kirthana mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhi oleh mahkamah.
Peguam bela, A. Rahman Mohd. Nasir merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan pendapatan bapa anak guamnya yang bekerja sebagai pengajar di tahfiz itu hanyalah sebanyak RM5,000 sebulan.
“Juvana ini masih memerlukan kasih sayang daripada ibu bapa. Dia berumur 17 tahun dan belum bekerja dan sepatutnya melanjutkan pelajaran di sebuah pusat tahfiz namun terpaksa dibatalkan selepas direman polis,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak serta bagi fakta kes sebelum hukuman dijatuhkan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja berusia 18 tahun yang disyaki melakukan serangan seksual di sebuah pusat pengajian tahfiz di sini ditahan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada Ahad lalu.
Menurutnya, kejadian itu didakwa berlaku pada April tahun lalu apabila mangsa melakukan perbuatan lain yang tidak senonoh terhadap mangsa.
“Akibat kejadian terbabit, mangsa kini mengalami trauma di atas perkara yang berlaku,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu terbongkar apabila rakan pelajar terbabit memberitahu insiden tersebut kepada ibunya yang memaklumkan perkara berkenaan kepada bapa mangsa.
Siti Kamsiah berkata, mangsa yang mengalami trauma tidak menceritakan kejadian itu kepada bapanya kerana bimbang dimarahi. – UTUSAN