BATU KAWAN: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di muara berhampiran Jalan Batu Kawan menghala ke Jeti Batu Musang, semalam, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Mayat mangsa, G. Yagesh, 15, ditemukan terapung kira-kira 10 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh, pada pukul 5.45 pagi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam turut melibatkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth.
“Operasi dibahagikan kepada enam sektor pencarian dengan bantuan dua bot fiber. Namun, ia terpaksa dihentikan pada pukul 6.10 petang semalam kerana arus deras dan jarak penglihatan yang terhad,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Semalam seorang remaja dikhuatiri lemas ketika memukat bersama abang dan sepupunya di kawasan terabit. Mangsa sebelum ini dilaporkan menyelam ke dasar untuk meleraikan pukat yang tersangkut, namun tidak muncul semula, menyebabkan keluarganya segera menghubungi bomba. – UTUSAN