KUALA LUMPUR: Gara-gara terkena tukul yang dibaling Syafiq Kyle semasa penggambaran filem Blood Brothers, rahang pelakon, Andy Teh, bengkak menyebabkannya tidak boleh mengunyah makanan selama seminggu.
Oleh itu, Andy atau Andy Teh Kim Huat hanya mampu menelan bubur selain menekan rahang dengan ais bagi mengurangkan bengkak.
“Kalau mahu bercerita tentang cedera memang banyak seperti lebam di siku dan lutut. Tapi ada satu adegan dengan Syafiq Kyle, dia terlepas tukul sehingga mengenai rahang saya dan hampir bergerak.
“Walaupun tukul itu hanya ‘prop’ tapi keras juga. Memang bengkak sampai tidak boleh mengunyah. Seminggu juga saya makan bubur.
“Ada juga adegan di mana saya dihentak dengan keyboard. Wajah saya dihentak sebanyak lapan kali untuk dapatkan ‘shoot’ yang diingini,” ceritanya ketika ditemui di Elitez Mont Kiara, pada Selasa.
Bercerita mengenai adegan yang paling mencabar, stamina pelakon Pagari Bulan itu juga teruji apabila perlu melakukan adegan pertarungan yang tegang selama 26 jam.
“Ada satu babak berlawan yang saya tidak boleh nak dedahkan. Tapi babak itu memang tegang dan penggambaran memakan masa selama 26 jam. Hujung-hujung itu kaki saya sudah kejang. Tapi saya perlu berlari ke pintu.
“Pengarah ada tegur juga saya lari macam itik, tapi memang semua sudah kejang. Jadi kamera bantu saya ‘tipu’ sikit supaya nampak saya berlari sampai ke pintu,” katanya ketawa.
Walaupun mengalami banyak kecederaan, Andy yang juga timbalan presiden Persatuan Mixed Martial Arts Malaysia merasakan filem Blood Brothers adalah naskhah lakonannya yang paling membahagiakan.
“Kenapa saya kata begitu, sebab melihat daripada aspek teknikal selain semua aksi di dalam filem ini saya lakonkan sendiri.
“Bukan itu sahaja, bukan mudah untuk dapat pelakon gandingan yang memberikan energi yang sama. Namun Syafiq Kyle memang seorang yang hebat walaupun kami hanya bertemu dua kali sahaja untuk latihan.
“Selebihnya, semua aksi kami lakukan di set penggambaran,” katanya yang memegang watak Pablo.
Filem Blood Brothers menceritakan tentang persaudaraan sekumpulan lelaki dalam organisasi ‘keselamatan elit’ yang diuji menyebabkan berlakunya beberapa siri bergaduhan.
Filem ini bakal menemui penonton bermula 10 April 2025.-UTUSAN