GEORGE TOWN : Pulau Pinang memberikan maklum balas positif terhadap usaha kerajaan Pusat untuk memastikan bahawa setiap negeri mempunyai undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, maklum balas itu diperoleh hasil pertemuan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow semalam.
“Semalam, kita ada perjumpaan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Exco negeri-negeri lain. Menerusi pertemuan ini, kami menjelaskan mengenai kepentingan untuk memastikan kita dapat membina ekosistem di mana data diterima bukan sahaja di peringkat negara, tetapi juga di peringkat negeri.
“Beliau (Kon Yeow) memberikan respon yang baik (untuk menggubal akta serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024 di peringkat negeri),” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Malaysia Digital (MD) 2025 di sini, hari ini.
Akta Perkongsian Data 2024 yang berkuatkuasa kelmarin sebelum ini diluluskan di Parlimen bagi mengukuhkan pengurusan dan perkongsian data antara agensi kerajaan dan sektor swasta dalam usaha mempercepatkan transformasi digital negara.
Semalam, Gobind menyeru kerajaan-kerajaan negeri agar menggubal undang-undang serupa dengan Akta Perkongsian Data 2024 bagi memperluaskan usaha perkongsian data di seluruh negara.
Menurut Gobind, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menghantar pegawai undang-undang ke negeri-negeri untuk menerangkan kaedah pelaksanaan legislasi tersebut secara pantas.
“Minggu lepas, pasukan perundangan dari pejabat saya telah membuat pembentangan kepada Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari di Pulau Pinang. Saya juga telah mengarahkan pasukan untuk pergi ke semua negeri bagi memastikan penjelasan diberikan secara menyeluruh,” ujarnya.
Gobind berkata, beliau optimis bahawa menjelang akhir tahun ini, usaha untuk menggubal undang-undang yang seragam dengan Akta Perkongsian Data 2024 di semua negeri dapat direalisasikan.
“Jika semua negeri dapat mempertimbangkan untuk gubal undang-undang seperti ini, kita akan dapat manfaat bersama,” katanya. – UTUSAN