PASIR MAS: Rakyat Kelantan boleh pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada 2027 memandangkan pembinaan laluan sepanjang 665 kilometer (km) dari Kota Bharu dekat sini ke Pelabuhan Klang, Selangor dijangka dapat beroperasi mengikut jadual.
Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan laluan berkenaan sudah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 81.7 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pencapaian itu penting dalam pelaksanaan projek infrastruktur strategik ini di Pantai Timur.
Katanya, setakat ini Terengganu menjadi negeri yang telah mencapai kemajuan pembinaan paling tinggi iaitu 90 peratus.
“Kelantan di tempat kedua dengan gerak kerja sudah mencapai 88.86 peratus dan Pahang 86 peratus.
“ECRL ini akan beroperasi Januari 2027 dengan kata lain Hari Raya Aidilfitri nanti rakyat Kelantan boleh pulang beraya menggunakan pengangkutan awam ini,” katanya semasa lawatan kerja rasmi ke tapak Stesen Pasir Puteh di Jalan Cherang Tuli yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Darwis berkata, kerja-kerja pengujian landasan dan operasi ECRL bakal dilaksanakan pada Jun 2026.
Katanya, beberapa gerabak penumpang pula dijangka sampai hujung tahun ini.
“Setakat ini, kita berpuas hati terhadap kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh pihak kontraktor dilantik. Kemajuan projek dilihat sangat baik di Kelantan, Terengganu dan sebahagian di Pahang melibatkan jarak 400km dari Tunjong,” ujarnya.
Darwis berkata, kerja-kerja pembinaan bagi Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong dan Pasir Puteh dijangka siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan.
ECRL bakal beroperasi pada Januari 2027 melibatkan jarak jajaran 665km yang mampu memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara.
Sebanyak 20 buah stesen bermula dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang menghubungkan bandar raya, bandar dan taman perindustrian dengan rel berkelajuan 160km sejam. – UTUSAN