Projek Kampung Sungai Baru perlu diteruskan

Projek Kampung Sungai Baru perlu diteruskan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, perlu diteruskan kerana ia sudah diwartakan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 yang mana pembatalan projek bukan lagi pilihan.

Projek yang sudah tertangguh hampir 10 tahun itu juga perlu diteruskan supaya pemilik tanah yang dipindahkan sementara waktu dapat kembali semula ke Kampung Baru seperti dijanjikan.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pewartaan Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 dikeluarkan pada 18 Jun dan 21 Jun 2021.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan pembatalan projek pembangunan itu bukan lagi pilihan sebaliknya perlu diteruskan supaya penantian penghuni pangsapuri dan pemilik lot rumah teres itu ditamatkan segera.

“Mereka sudah menandatangani persetujuan perjanjian usaha sama, menerima pampasan dan berpindah keluar seperti diminta pemaju. Jadi keputusan itu tidak boleh undur kerana sudah ada perjanjian.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah mencari penyelesaian bagi membolehkan pemaju memulakan projek segera supaya tidak lagi terbengkalai.

“Projek mungkin mengambil masa lima tahun (dari sekarang) kerana kalau projek disiapkan cepat pun, ia tetap memerlukan 11 atau 12 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang disiarkan malam ini.

Pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Bagaimanapun, sesetengah penduduk, terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL).

Bagaimanapun, kira-kira 33 peratus penduduk di lokasi pembangunan atau 109 pemilik membabitkan lot teres dan flat tidak bersetuju berhubung projek berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, pemaju perlu meneruskan projek pembangunan tersebut tanpa menggunakan alasan gagal memulakannya kerana tidak memperoleh persetujuan.

Katanya, pembangunan itu harus dipastikan supaya tidak terbengkalai hanya kerana mahu menunggu keputusan mahkamah yang mungkin mengambil masa lama.

“Jika kes tidak memihak kepada mereka di Mahkamah Tinggi, ia akan dibawa ke Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan.

“Sementara nak menunggu selesai, berapa ramai yang meninggal dunia, termasuk 67 peratus yang bersetuju itu?

“Apabila penama meninggal dunia, kena ada probet (proses membuktikan secara rasmi kesahihan atau keabsahan wasiat) dan proses seterusnya akan menjadi semakin rumit berikutan tertangguh lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya