Presiden Maldives diberi sambutan rasmi negara

Presiden Maldives diberi sambutan rasmi negara

ANWAR Ibrahim menyambut ketibaan Mohamed Muizzu di Perdana Putra, Putrajaya. - GAMBAR PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu diberi sambutan rasmi negara dalam lawatan sulung beliau ke Malaysia dalam satu majlis di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan beliau pada pukul 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Muizzu kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan daripada 102 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta peluang kerjasama antara Malaysia dan Maldives, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Pelancongan, MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Sukan dan MoU mengenai Kerjasama dalam bidang Kesihatan.

“Selain itu, pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) akan turut disaksikan oleh kedua-dua pemimpin melibatkan bidang Latihan Diplomatik dan penubuhan Konsultasi Dua Hala antara Malaysia dan Maldives,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri akan menghoskan Majlis Jamuan Makan Tengah Hari Rasmi bagi meraikan Muizzu di Kompleks Seri Perdana.

Muizzu juga akan dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan Madani oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), esok.

Penganugerahan ijazah kehormat ini akan disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

“Bersempena penganugerahan tersebut, Muizzu juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation”,” katanya.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (AS$189 juta), berbanding RM827.3 juta (AS$180.9 juta) pada tahun 2023.

Maldives merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN