PUTRAJAYA: Presiden Kosovo, Dr. Vjosa Osmani Sadriu akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula esok hingga 4 Mei depan, sekali gus terus mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan rasmi itu kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 4 April 2021.
Kata Wisma Putra, Dr. Vjosa akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya dan diikuti dengan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perbincangan akan tertumpu kepada usaha meningkatkan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan serta kesalinghubungan antara rakyat.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025,” katanya hari ini.
Kata Wisma Putra, Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Malaysia telah mengiktiraf Republik Kosovo secara rasmi pada 30 Oktober 2008 dan merupakan antara negara di Asia pertama mengambil pendekatan tersebut.
Hubungan diplomatik rasmi seterusnya telah ditubuhkan pada 18 Mac 2021.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM28.55 juta dengan jumlah eksport Malaysia ke Kosovo mencecah RM25.92 juta, manakala jumlah import daripada Kosovo sebanyak RM2.63 juta.
Eksport utama Malaysia ke Kosovo adalah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta hasil kilang, manakala import daripada Kosovo terdiri daripada bahan mentah serta batuan separa berharga. – UTUSAN