Polis siasat dakwaan kematian insiden kebakaran paip gas

Polis siasat dakwaan kematian insiden kebakaran paip gas

HUSSEIN Omar Khan pada sidang akhbar di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini.-UTUSAN/SYAKIR RADIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan tular di media sosial yang mengaitkan kononnya berlaku satu kes kematian susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada sebuah pusat kesihatan daerah berhubung dakwaan tersebut yang disahkan tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang bukti kukuh.

“Sehubungan itu, siasatan telah dimulakan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian,” katanya pada sidang akhbar Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini, hari ini.

Menurut beliau, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) turut tampil membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang mendakwa terdapat kematian membabitkan insiden kebakaran paip gas berkenaan.

Dalam satu kenyataan, KKM menegaskan bahawa tiada sebarang laporan berhubung kematian diterima daripada mana-mana fasiliti kesihatan, sama ada awam mahupun swasta berkaitan kejadian tersebut.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 755 laporan daripada orang awam susulan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights. 

Hussein Omar berkata, laporan-laporan berkenaan membabitkan kerosakan pada harta benda seperti rumah dan kenderaan, dan mangsa yang melibatkan kemalangan.

“Sehingga kini, sebanyak 172 percakapan telah dirakam daripada saksi yang terdiri daripada pelbagai kategori dan pihak berkepentingan yang berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini siasatan, beliau berkata, kerja-kerja penggalian di lokasi letupan (ground zero) telah mencapai kedalaman 10 meter, iaitu tiga meter melebihi kedudukan asal paip gas berkenaan.

“Kerja-kerja ini perlu dijalankan secara berperingkat dan agak perlahan kerana kami perlu membentuk teres-teres untuk kestabilan struktur tanah, 

“Selain berdepan faktor cuaca hujan yang menyebabkan air bertakung di kawasan penggalian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN