TAPAH: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan negeri menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sebuah ladang ternakan babi di sini yang dikesan membuang sisa najis haiwan itu ke Sungai Bidor.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berdasarkan tinjauan pihaknya, ladang yang terletak di Kampung Poh di sini terletak 140 meter daripada penempatan penduduk.
“Malah, kolam pengolahan efluen (sisa najis babi) terletak dengan bersebelahan rumah penduduk.
“Terdapat tiga kolam efluen di ladang ini yang bersambung antara satu sama lain, saluran paip utama yang memghubungkan kepada paip kedua telah bocor.
“Air kumbahan paip yang pecah masuk ke dalam longkang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
“Selain itu, kolam ketiga secara terus membuang sisa tersebut ke Sungai Bidor yang menyebabkan pencemaran,” katanya pada sidang akhbar sempena PRK DUN Ayer Kuning di sini hari ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati ladang babi moden itu terletak berhampiran dengan kediaman selain sisa kumbahan disalurkan terus ke Sungai Bidor.
Sungai itu merupakan sumber air kedua kepada penduduk Tapah.
Idris berkata, pihaknya telah menghantar sampel air sungai ke makmal swasta bagi pengesahan.
“Ujian telah mengesahkan bahawa sisa najis yang dilepaskan ke Sungai Bidor ini adalah tercemar dan tidak terawat.
“Kerajaan negeri boleh mengambil sampel air air sungai yang sama sekiranya inginkan kepastian lebih lanjut,” katanya.
Katanya, Pemuda Perikatan Nasional akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok. – UTUSAN