Pewartaan kawasan taman laut, ramai berdegil langgar peraturan

Pewartaan kawasan taman laut, ramai berdegil langgar peraturan

SAUFI Affandi Talib (dua dari kiri) ketika sesi soal jawab pada Majlis Libat Urus Bersama Nelayan Berdaftar Negeri Melaka berhubung pewartaan Taman Laut dan kawasan perikanan Pulau Besar di Kompleks Japerun Telok Mas. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Perikanan menegaskan bahawa pewartaan perairan sekitar Pulau Besar sebagai kawasan larangan menangkap ikan bukan bertujuan mengecilkan kawasan tangkapan, sebaliknya sebagai zon pembiakan ikan demi kelestarian sumber laut.

Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, langkah itu dilaksanakan supaya ikan-ikan yang membiak di kawasan Taman Laut dapat keluar ke laut terbuka apabila membesar dan memberi manfaat kepada nelayan.

“Memang kita akui kawasan semakin sempit tetapi ia bukan alasan untuk terus melanggar undang-undang. Kita bukan suka-suka hendak ambil tindakan. Kita ada budi bicara, tapi kalau kekerapan pencerobohan meningkat, tindakan tegas perlu diambil.

“Hari pertama kita buat pemantauan, ada nelayan yang masuk kawasan larangan. Hari kedua pun sama. Sudah diberi amaran, esok masuk lagi. Bahkan ada juga nelayan sendiri yang buat aduan terhadap aktiviti ini,” katanya.

Saufi menjawab persoalan nelayan ketika sesi soal jawab pada Majlis Libat Urus Bersama Nelayan Berdaftar Negeri Melaka berhubung pewartaan Taman Laut dan kawasan perikanan Pulau Besar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Telok Emas di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang nelayan dari Serkam Pantai mendakwa, kehilangan punca pendapatan apabila bot, enjin dan peralatan menangkap ikan miliknya yang disita oleh Jabatan Perikanan sejak bulan lalu belum dipulangkan.

Abdul Mohammad Bathusha, 49, berkata, peralatan menangkap ikan termasuk sebuah bot dan enjin yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 disita kerana dikatakan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan Taman Laut berhampiran Pulau Undan.

Mengulas isu kelewatan pemulangan bot nelayan yang disita, Saufi  Affandi menjelaskan bahawa proses tersebut mengambil masa kerana perlu melalui ibu pejabat di Putrajaya dan pejabat undang-undang yang menjaga hal ehwal semua negeri.

“Kita faham ia jejaskan pendapatan nelayan, sebab itu kita sentiasa buat susulan dan tanya kenapa lambat. Kita juga komited untuk memastikan isu seperti ini diselesaikan dengan segera,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya