TAPAH: Persiapan akhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang berlangsung esok, berjalan lancar.
Tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Merdeka Tapah mendapati petugas SPR tiba seawal pukul 8 pagi bagi membuat semakan peralatan dan peti undi.
Beg mengandungi peralatan dan peti undi itu kemudiannya dibawa ke dua pusat mengundi di Dewan Anggerik yang terletak dalam Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah dan Dewan Rekreasi APR Transit di Batalian 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor.
Di DUN Ayer Kuning, seramai 582 pegawai dan anggota polis serta pasangan akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal esok.
Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus).
Pilihan raya kecil di DUN tersebut diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, daripada Barisan Nasional (BN) menjadi wakil kerajaan Perpaduan untuk bertanding pada pilihan raya berkenaan.
Bekas Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh itu akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek, 44, dan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40. – UTUSAN